Sunday 4 February 2018

Akulah ARYANA - Bab 1









Bab 1





Aryana tujuh tahun...

“Sakit... Alang tak mahu main ni…” Aku menangis…Sakit… Aku tak mahu main permainan macam ini. Aku mengongoi. Aku cuba melepaskan diri. Tetapi apalah aku dapat buat dengan tubuh kecilku.
“Mula-mula memang la sakit. Nanti seronok. Alang nak gula-gula tak?” Dia memujuk. Tubuh besarnya menghempap aku pula. Aku mengongoi lagi. Sakit sangat. Badan aku terasa bagaikan hendak patah. Bahagian bawahku ngilu diperlakukan begitu.
Mak... tolong alang, mak... Aku merintih dalam hati. Aku tak mahu gula-gula. Aku nak mak. Akhirnya aku terbaring lemah.
 Aku lihat dia kembali berpakaian.
“Nah gula-gula. Hang jangan berani bagi tahu mak hang. Kalau hang tak mau kena belasah. Ingat!” Dia menunjuk jari telunjuknya. Gula-gula dicampak ke arah aku. Aku meringkuk di tilam. Menangis tersedu-sedan. Badan aku terasa lemah. Celah kelangkang aku sakit.
Aku tak suka main permainan ini!

“SETUJU tak?” Suara mak mengembalikan aku ke dunia nyata. Aku menarik nafas dalam. Bersandar di dinding rumah papan separuh batu itu. Wajah emak aku pandang dengan harapan emak menarik balik cadangannya.
“Kenapa alang, mak? Along dengan angah kan belum kahwin.” Aku cuba mengelak. Aku fikirkan atas urusan apa emak panggil aku balik kampung. Rupa-rupanya kerana ini. Ada orang merisik anak dara mak dan aku calonnya.
“Hang yang depa berkenan. Along hang tu baru kerja. Satgi dia kahwin, sapa nak bagi aku duit? Angah hang jangan dok harap la. Dia dok berangan nak jadi jantan. Tak sedaq diri tu perempuan. Dah tu, tak kan adik hang pulak? Dia baru habis SPM. Tinggai hang ja yang sesuai. Hang pun bukan ada pakwe. Takat kerja butik tu berapa la sangat gaji. Baik kahwin ja.”
Panjang lebar mak dengan hujahnya. Aku mengeluh. Kenapa mesti aku juga yang kena? Aku nak sambung belajar emak tak bagi. Aku kerja biasa emak kompelin. Aku tahu along yang banyak membantu emak kerana gaji along lebih besar daripada aku. Yalah, along sahaja satu-satunya anak emak yang berjaya ke universiti. Angah pula berhenti sekolah setakat tingkatan tiga. Lari dari rumah merantau jauh. Tetapi, angah pun tak pernah lupa bagi emak duit. Yang tinggal, aku yang kerja biasa-biasa ni. Setakat beri emak seratus dua. Emak tidak pandang pun.
Aku pandang sekilas wajah ayah. Dia duduk di kusyen. Menghembus rokok sambil tersenyum sinis. Ah, aku benci lelaki itu. Lelaki? Tidak. Dia jantan keparat. Aku tahu aku salah benci ayah sendiri. Tapi jantan keparat tu memang layak dibenci. Dia tak layak bergelar bapa sekali pun. Bapak syaitan mungkinlah kut. Kenapa aku benci dia? Sebab jantan keparat itulah yang rosakkan aku. Anak dia sendiri. Darah daging dia. Haruan makan anak. Itulah dia. Puihh!
Aku pandang along pula. Mohon dia membantah untuk aku. Along membalas pandang dengan simpati.
“Mak, ni bukan zaman kahwin paksa, mak. Ke mak terpengaruh dengan drama TV ni mak. Biarlah alang kerja dulu. Cari calon dia sendiri.” Along cuba membantu aku. Dia mengurut lengan emak lembut.
“Macam calon hang dulu? Juai burger? Tak dak masa depan?” Mak membidas kata-kata along. Menepis tangan along. Langsung along terkedu. Aku nampak air mukanya yang berubah. Along memang pernah kenalkan teman lelaki dia dahulu. Tapi emak menentang habis-habisan hanya kerana lelaki tu kerjanya jual burger sahaja. Sedangkan along masa tu di tahun akhir pengajian.
Namun emak tidak sedar. Kekasih along itulah yang banyak membantu along masa tu. Tetapi kerana kami ni anak-anak perempuan emak memang jenis mendengar kata, kecuali angah yang agak keras hatinya. Along akur, dia putuskan hubungan dengan kekasihnya. Sehingga sekarang dia membujang. Menolak untuk berkahwin. Biar dia bujang sampai ke tua pun dia tidak kisah asal puas hati emak.
“Apa pula kait dengan orang ni. Suka hati mak lah.” Along merengus. Dia menghentak kaki melangkah ke bilik. Aku hanya mengekori langkahnya dengan pandangan sayu.
“Terimalah... Tuk Awang teringin sangat nak berbesan dengan keluarga kita. Dia kata keturunan Tuk Hasyim baik-baik. Lagipun cucu dia tu kerja bagus. Manager hotel.”
Huh! Baguslah... bagus sangat keturunan Tuk Hasyim ni. Kalau mereka tahu perangai bapa syaitan tu, agaknya hilang persepsi mereka tentang keturunan baik-baik tu.
“Nantilah alang fikirkan...” Akhirnya aku mengalah. Malas hendak panjangkan cerita.
“Hurm. Jangan fikir lama-lama. Jodoh yang baik bukan datang selalu.” Kata mak lagi. Masalahnya mak, anak mak ni bukan baik-baik. Anak mak kotor!
Aku melangkah lemah ke bilik. Mendapatkan along dan juga adik. Adik lelaki aku, Amri... entah merayap ke mana. Satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami. Beza setahun saja dari aku. Anak kesayangan mak dan ayah. Jadi kutu rayau pun mak sayang jugak. Macam mak sayang ayah aku yang pemalas tidak bekerja tu.
“Alang, macam mana? Terima ke?” Tanya adik. Aku mencapai bantal lalu menyelit berbaring di antara adik dan along.
“Entah. Tak tahu lagi.” Sungguh aku tidak menyangka akan ada lamaran untuk aku. Aku ni jijik. Tak layak untuk sesiapa.
“Alang, kau fikir masak-masak, lang. Kahwin bukan benda main-main. Ni kalau angah tau ni... aku tak tau la..”Along memberi nasihat. Serta merta aku teringat pada angah. Jauh di sudut hati aku berharap angah ada saat ini. Tentu dia akan membantu aku membantah cadangan emak.
Aku bangun duduk di birai katil. Mataku mula berkaca. Sebak. Sebab selalu aku yang menjadi mangsa.
“Apapun keputusan alang, adik harap alang akan bahagia.” Adik bongsuku memeluk aku.
“Along pun harap macam tu.”
Kami berpelukan bertiga. Walau pun ada kisah derita dalam hidup aku, aku bersyukur dikurniakan mereka sebagai adik-beradik aku. Cuma mereka tidak pernah tahu apa yang ayah lakukan pada aku. Aku harap ayah tidak pernah menyakiti mereka sebagaimana aku.








No comments:

Post a Comment

Top Commentators