Monday, 5 February 2018

Akulah ARYANA - Bab 2





Bab 2


Aryana 10 tahun...


“Ampun ayah. Alang janji tak buat lagi.” Aku merayu. Air mataku berjujuran dengan laju. Ayah mengeluarkan tali pinggangnya. Aku memaut kaki ayah memohon keampunan.
“Kenapa hang cuba nak bagi tahu mak hang pasai apa yang aku buat kat hang hah? Aku dah kata... diam! Tu diam la! Kenapa hang degil? Rasakan!” Aku menyeringai kesakitan akibat libasan tali pinggang ayah yang bertalu-lalu hinggap di tubuh kecil aku.
Aku menahan libasan ayah dengan lengan. Menutup mukaku. Aku meraung. Malangnya raunganku tak siapa dengari ataupun peduli. Rumah kami jauh dari rumah orang. Kerana itu ayah boleh berbuat apa saja kepada aku.
“Alang tak buat lagi. Alang tak buat lagi.” Aku merayu lagi. Semuanya salah aku. Bahagian bawahku sakit akibat dibalun ayah malam sebelum tu. Emak yang melihat aku jalan terkengkang-kengkang ketika hendak ke bilik air bertanya kenapa aku berjalan begitu. Belum sempat aku menjawab, ayah muncul di muka pintu dapur. Emak tidak jadi bertanya lebih lanjut. Dia menyambut ayah dengan senyuman. Emak, kenapa mak terlalu sayangkan syaitan bertopengkan manusia itu?
“Alang tak bagi tahu mak... ampun ayah... sakit...” Namun rayuanku bagai menyimbah minyak kepada api yang marak. Ayah berang lagi. Kali ini tubuhku dicempung lalu dibaling ke dinding.
“Ayah!”
 Serentak itu aku dengar laungan along dan angah yang baru pulang dari sekolah. Mereka meluru ke arah aku yang lembik tak berdaya. Pandangan aku mula kabur. Ayah terkaku melihat keadaan aku.
“Along, panggil Pak Cik Husin, along.”
Aku dengar suara cemas angah. Dia mendakap aku erat.  Aku dengar derap kaki along yang berlari keluar.
“Alang... bangun. Jangan pejam mata. Tengok angah. Ya Allah, ayah! Apa ayah buat ni? Ayah nak bunuh alang ke?” Aku dengar suara angah sayup-sayup.
Ya Tuhan. Kalau ini penghujung hidup aku, aku rela. Aku tak sanggup lagi...
“WEYHH Yana. Bangun! Ish budak ni petang senja macam ni membuta.”
Aku terpisat-pisat sedar dari tidur. Mimpi kejadian itu lagi. Aku memegang kepala yang berpinar. Mungkin akibat bangun secara mengejut tadi.
“Kau bila balik sini? Lain kali bagi tahulah aku. Boleh aku pergi ambil kat stesen bas tadi.”
Aku pandang Yani yang baru balik kerja.
Yani, sahabat baik aku dari kecil. Dulu masa aku baru lahir hingga aku enam tahun kami berjiran. Hinggalah kami sekeluarga berpindah ke kampung sebelah. Mujur aku dan Yani bersekolah di sekolah yang sama. Sekelas dari darjah satu hingga ke tingkatan lima. Tidak pernah berpisah. Yani, pelindung aku selepas angah. Siapa-siapa yang buli aku, kena hadap dia dahulu.
Orang selalu salah anggap kata kami kembar. Sudahlah nama kami hampir sama. Aku Aryana. Dia Haryani. Wajah kami pun hampir sama. Mungkin sebab terlalu akrab. Aura pun sama. Entah. Cuma Yani agak chubby dan kasar perwatakannya. Tak macam aku yang kurus kecik sahaja.
Kalau aku mangsa penderaan seksual. Yani pula anak mangsa penceraian. Mak ayah dia bercerai ketika dia masih dalam kandungan. Mek Nah ditinggalkan sebatang kara. Namun, kalau dah wanita Kelantan, mereka memang bersikap waja. Mek Nah bangkit daripada tidak punya apa-apa hingga boleh membuka restorannya sendiri di pekan kampung kami di utara semenanjung.
“Aku tanya kau ni...” Dia menghulurkan secawan Milo suam kepada aku. Entah bila dia ke dapur. Jauh sangat aku mengelamun agaknya.
 “Aku malas nak susahkan kau. Nanti bos kau marah pulak keluar waktu kerja.” Aku memberi alasan. Aku menyisip air Milo 3 in 1 yang Yani sediakan itu. Terasa segar sedikit badanku. Penat dua jam perjalanan dalam bas. Kerana sampai sahaja ke rumah sewa kami, aku terus tertidur.
So, kau setuju dengan cadangan mak kau tu?” Dia bertanya. Aku sudah beritahu cadangan emak aku itu pada Yani malam semalam melalui aplikasi WhatsApp.
“Aku cakap aku nak fikir dulu. Lepas tu mak aku suruh kenal-kenal dulu.”
Emak tak sudah-sudah mendesak aku. Memuji-muji bakal suami aku. Orangnya kacaklah, banyak duitlah, budak baiklah. Yalah tu. Macam aku tak kenal siapa dia.
“Nak kenal apa lagi? Semua orang kenal kut. Buaya tembaga. Bukan kau tak tahu berapa ramai mangsa dia. Mak kau tu je yang tak tahu.” Yani mencebik selepas membebel.
Ya, aku kenal calon emak aku tu. Dia Hakim. Senior aku ketika aku masih di alam persekolahan. Kacak, cucu orang kaya, aktif olahraga dan boleh dikatakan pandai juga. Lengkaplah pakejnya. Itu fasallah ramai yang tergoda tidak kira senior atau junior. Malah cikgu-cikgu muda pun berminat. Termasuklah aku yang memerhati dia dalam diam. Siapa sangka Tuk Awang berkenan pada aku pula untuk dibuat cucu menantu.
“Itu dulu. Mana tau dia dah berubah?” Aku cuba menyedapkan hati. Menafikan kata-kata negatif orang tentang Hakim.
“Yalah tu. Baru semalam aku nampak entah dengan perempuan mana.” Yani menayang muka menyampah.
Aku tahu dia kaki perempuan dan sebagainya. Tapi aku suka. Aku suka bad guy. Sebab aku ni jijik. Tidak layak untuk stok pak ustaz.
Tapi aku sedar aku tak layak untuk sesiapa hatta Hakim sekalipun.
 “Entah-entah kawan je kut.” Aku membela lagi. Ah, aku memang bodoh.
“Ish. Sakit hatilah aku cakap ngan kau ni. Nikah jelah dengan dia kalau kau nak sangat. Kalau dah suka tu, apa pun nampak elok je.”
Yani membebel lagi. Entah apa yang dia anti sangat dengan Hakim, aku pun tidak tahu.
“Mana tau hidup aku indah macam dalam novel. Selalu kahwin paksa ending indah-indah kan? Aku percaya pilihan orang tua ni baik-baik selalunya.” Aku mula berangan-angan. Bagaikan memegang watak dalam novel cinta.
“Parah. Suka hati kaulah. Kalau kau tanya aku, aku tak nak lelaki macam dia. Dah la. Aku nak mandi. Kau tu kenapa tak mandi-mandi  dari tadi? Apa la nak jadi kau ni, Yana...”
Yani ni kadang-kadang bebel macam mak aku. Rimas. Tapi dia sahaja sahabat aku paling rapat.
Aku melangkah ke dapur. Membersihkan muk Milo tadi. Yani sudah berlalu ke bilik air.
Kalau aku terima lamaran tu, dia boleh terima aku seadanyakah? Aku mengeluh lagi buat kesekian kalinya.




No comments:

Post a Comment

Top Commentators