Tuesday, 2 October 2018

Duda untuk dia - Prolog














Prolog.





Berhenti saja kereta. Dahi Firdaus berkerut. Kenapa sunyi saja rumah mereka. Mana isteri dan anak-anaknya?
Kaki melangkah keluar dari kereta wira lamanya. Kereta yang baru dibelinya diberi pada si isteri. Biarlah dia guna kereta lama. Lagipun lebih jimat minyak. Maklumlah.. mereka baru saja beli rumah dan terbaru kereta permintaan isterinya itu. Mahu tak mahu dia kenalah berjimat. Apatah lagi, dengan dua anak lelaki yang semakin menginjak remaja.
Sebaik pintu rumah dibuka. Nafas dihela lemah. Sepatutnya kepulangannya disambut. Tapi nampaknya tiada siapapun yang mengharap kepulangannya kali ini.
Punggung dilabuh ke sofa. Badan dihempas kebelakang. Menyandar membuang letih dan pilu. Sedar akan satu rasa kekurangan. Iaitu layanan mesra dari seorang wanita bergelar isteri.
Firdaus tidak sedar berapa lama hubungan dia dan juga isterinya menjadi hambar sebegini. Seorang ke utara. Seorang ke selatan. Hubungan jarak jauh memang memenatkan. Puas sudah dia cuba menyemarakkan rasa mesra mereka. Namun, dibalas sambil lewa oleh pihak si isteri.
Sedang dia merenung kosong siling rumah. Telefon pintarnya berbunyi tanda ada pesanan ringkas yang masuk.
Malas-malas dia keluarkan gadget itu dari poket.

-Awak dah balik kan? Saya dah failkan borang cerai. Nanti jumpa saya di mahkamah.
Terasa tersekat nafasnya melihat pesanan itu. Yang datangnya dari seseorang yang pernah diakadnya. Isteri kepada seorang lelaki bernama Danial Firdaus.

****

“Lama sungguh kamu tak datang rumah mak teh. Dah dekat 10 tahun dah kot ya Firdaus. Dulu bujang-bujang rumah mak teh la kamu datang melepak. Lepas kahwin lesap terus kamu ya?” Firdaus hanya mampu tersengih bila Mak Teh mula membebel. Sejujurnya dia rindukan ibu saudaranya itu. Tapi keadaan buat dia lama tidak mengunjungi Puan Zaleha, Mak Tehnya itu.
Leher Puan Zaleha memanjang pandang ke belakang Firdaus.
“Mana anak isteri kamu?” Mata Puan Zaleha kembali pada Firdaus.
“Err.. Mak Teh masak apa? Aus lapar lah. Tak sempat singgah mana-manalah tadi. Rindu sangat dengan Mak Teh.” Cepat Firdaus alih tajuk. Kaki terus menghala ke dapur. Tak banyak pun berubah rumah Mak Tehnya. Cuma ruang atur rumah saja. Lebih cantik dan kemas.
“Mana anak bini dia Zah? Ni anak-anak kamu yang lain bila nak sampai?” Puan Zaleha masih tidak berpuas hati. Soalan ditala pula adiknya yang datang dari Kuala Lumpur itu.
“Entahlah Kak Leha. Bini dia tu memang jarang ikut dia balik. Sibuk kerja katanya. Yang lain sekejap lagi sampai lah tu. On the way dah.” Puan Zaharah mengikut dari belakang langkah kakaknya menuju ke dapur. Kebetulan minggu ini cuti sekolah panjang. Jadi, dia mengajak anak cucunya menziarahi rumah saudara mara. Tidak juga dia sangka anak lelakinya itu bersetuju ikut serta kali ini.
Firdaus buka tudung saji. Ada nasi lemak. Berkeroncong terus perutnya. Baru saja kerusi ditarik Firdaus terdengar pintu bilik air dibuka. Tertoleh pandangannya ke arah itu.
Dan anak matanya bertembung dengan anak mata figura yang baru keluar dari bilik air itu. Sepantas kilat juga figura itu berlari ke bilik.
Firdaus jungkit bahu. Punggung dilabuh ke kerusi. Perutnya lebih memerlukan perhatian saat ini.

****

Puan Zaleha merenung wajah anak saudaranya yang sedang enak menyantap nasi lemak itu. Macam tak jumpa nasi sebulan!
“Sedapnya Mak Teh! Lama Aus tak makan sedap macam ni. Sambal ni.. Perghhh!” Firdaus memuji dengan mulut penuh. Ini yang dia suka bila datang ke rumah ibu saudaranya itu. Mak Teh selalu mempelawa makanan yang sedap-sedap.
“Bukan Mak Teh yang buat. Si Isya tu yang buat. Bab masak-masak ni Mak Teh serah kat dia dah.” Puan Zaleha menjuih pada anak daranya yang baru saja keluar dari bilik. Menghampiri ke arah mereka.
“Apa khabar Mak Ude? Abang Fir..” Si gadis menggapai tangan ibu saudaranya. Tadi dia tak sempat menyambut kerana tengah mandi. Keluar saja dari bilik air. Dia bertembung mata dengan seorang lelaki asing di meja dapur. Mujurlah dia masih ingat siapa lelaki itu. Sepupu yang lama dia tidak berjumpa. Mujur juga dia memang selalu berpakaian lengkap dari dalam bilik air. Jika tidak, mahu dia menjerit kuat tadi.
Fir? Dahi Firdaus berkerut seribu. Lama dia tak mendengar gelaran itu. Dia hanya mengganguk kecil tanpa mengangkat muka memandang gadis itu. Tangannya masih ligat meneruskan santapan.
“Kamu ni Firdaus. Bini kamu tak pernah masak nasi lemak ke?” Puan Zaharah masih tekun memerhati anak buahnya itu. Macam ada sesuatu yang disembunyi Firdaus.
Firdaus senyum senget. Hambar.
“Mana ada bini dah Mak Teh. Tiga tahun dah orang menduda.”
“Apa?” Serentak itu kedengaran semua suara. Firdaus toleh ke belakang. Bagus! Semua pun ada di situ.

1 comment:

Top Commentators